Ia merupakan salah satu tasik yang paling tenang di Afrika. Langsung tiada pembangunan yang ada hanyalah haiwan-haiwan seperti bangau, burung, kelawar dan pelbagai jenis haiwan yang bebas terbang berkeliaran.
Tasik Natron adalah lokasi tumpuan spesis burung bangau terancam Afrika untuk bertelur. Persatuan Diraja Perlindungan Burung (RSPB) menganggarkan tiga suku populasi burung bangau di dunia tinggal dan bertelur di timur Afrika.
Tasiknya yang tidak berhubung dengan mana-mana sungai dan laut membuatkan ia lebih selesa bagi kawanan haiwan tersebut.
Dan tasik Natron menyimpan cerita misterinya yang tersendiri.
Apabila sesebuah lokasi menjadi kediaman pada kehidupan, sudah pasti ada bangkai-bangkai akan terdapat disitu. Ada haiwan yang baru mati, ada yang sedang membusuk dan ada yang sudah reput.
Bagitu juga ditasik ini cuma bezanya bangkai-bangkai ini seolah-olah telah bertukar menjadi batu dan tidak mereput sama sekali. Lebih menyeramkan, keadaan haiwan-haiwan ini seolah-olah masih hidup!
Seorang jurugambar amatur, Nick Brandt telah menceritakan pengalamannya dalam buku Across The Ravaged Land, ketika dia mula-mula tiba disitu, dia terkejut dengan apa yang dilihat.
Dia menemui berpuluh-puluh ekor bangkai bangau, burung, kelawar, helang dan sebagainya dalam keadaan masih sempurna.
Haiwan-haiwan ini seolah-olah telah diawet padahal tiada sesiapa pun yang melakukannya hingga mencecah ratusan bangai.
Terpegun dengan apa yang dilihat, dia mengutip beberapa ekor bangkai lalu diletakkan diatas ranting dan batu untuk diambil gambar. Tujuannya adalah untuk memberi nafas baharu kepada bangkai-bangkai itu.
Peliknya, biarpun sudah mati tetapi gaya dan cara haiwan-haiwan ini seolah-olah sedang terbang, berjalan, tidur, makan dan sebagainya.
Dikatakan, fenomena itu berpunca daripada kandungan alkali yang tinggi hingga mencecah 9 dan 10.5 pH menjadikan kelikatannya cukup untuk memumiakan haiwan-haiwan itu. Ditambah pula suhunya yang boleh mencecah hingga 60 darjah selsius membuatkan haiwan-haiwan tersebut mati jika terkena airnya.
Kedudukan tasik berhampiran gunung berapi menjadikan ia sebuah kolam air yang sangat tajam akibat kandungan bahan-bahan kimia semulajadi.
Walaupun ia tidak sesuai untuk kebanyakan haiwan, namun ia sangat berguna untuk haiwan-haiwan kental seperti burung bangau Afrika, ikan Talapia Grahami dan beberapa hidupan lain untuk berlindung daripada pemangsa.
Tasik Natron yang memiliki keluasan sehingga 642 kilometer persegi dengan kedalaman 50 sentimeter menjadikan ia sukar untuk dilalui oleh burung-burung tersebut.
Jika haiwan-haiwan cuba mendarat atau termasuk ke dalam tasik berkenaan, ia akan menjadi keras disebabkan kandungan sodium karbonat atau garam natrium yang sangat tinggi yang melekat pada badan.
Suhu yang tinggi di tasik tersebut juga merupakan penentu nasib haiwan-haiwan yang terjerumus ke dalam tasik. Air yang cepat panas dan cepat tersejat dengan mudah melekat pada tubuh mereka.
Apa yang berlaku, mereka tidak mampu terbang disebabkan bulu yang semakin mengeras dan memberat menyebabkan haiwan-haiwan ini mati serta-merta dan menjadi batu.
Sebenarnya perkara ini bukannya baru ditemui. Kaedah pemumiaan jasad-jasad pembesar Mesir Kuno dahulu telah mempraktikkan kaedah ini dalam proses pengawetan mayat. Mereka juga menggunakan sodium karbonat atau garam natrium dalam proses tersebut.
Sebab itulah haiwan-haiwan yang terkena percikan air tasik akan berubah menjadi batu pada anggota yang terkena.
Malah, nama Natron juga diambil sempena bahan pengawet yang digunakan oleh orang Mesir purba pada zaman Firaun.